Terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti dalam proses pengambilan anak angkat, namun jangan khuatir, proses ini adalah teratur dan tidak serumit yang disangkakan. Walau bagaimanapun, perlu diambil maklum bahawa tempoh menunggu, terutamanya jika terdapat senarai giliran, mungkin mengambil masa. Sebelum membuat keputusan untuk mengambil anak angkat, terdapat beberapa perkara penting yang wajar anda pertimbangkan dan tanyakan kepada diri sendiri.
Langkah 1: Adakah Pengambilan Anak Angkat Sesuai untuk Anda?
Berikut ialah beberapa soalan untuk menilai sama ada pengambilan anak angkat sesuai untuk anda:
- Mengapa anda ingin mengambil anak angkat?
- Bolehkah anda mengutamakan keperluan anak anda?
- Adakah anda mempunyai ruang yang sesuai untuknya di rumah anda?
- Adakah anda bersedia membantu anak ini mengatasi trauma fizikal dan emosi?
- Adakah anda mempunyai jaminan atau kestabilan kewangan untuk membesarkannya?
- Adakah anda mempunyai sokongan daripada individu atau pihak yang boleh memberi nasihat dan bantuan?
Jika anda dapat menjawab semua soalan ini dengan yakin dan positif, tahniah!
Langkah 2: Adakah Anda Ingin Mengambil Anak Angkat dalam Kalangan Bayi, Kanak-Kanak Lebih Dewasa atau Kanak-Kanak Berkeperluan Khas?
Terdapat pelbagai kategori kanak-kanak daripada pelbagai umur dan latar belakang yang menanti untuk diambil sebagai anak angkat. Golongan yang paling memerlukan keluarga ialah kanak-kanak yang lebih dewasa (berumur antara 2 hingga 18 tahun) serta kanak-kanak berkeperluan khas.
Perkhidmatan pengambilan anak angkat oleh OrphanCare merangkumi penyelarasan pengambilan bayi, kanak-kanak berkeperluan khas serta kanak-kanak yang lebih dewasa yang datang melalui baby hatch kami, rumah anak yatim, dan pelbagai institusi penjagaan lain.
Pengangkatan Bayi (Bawah 2 Tahun)
OrphanCare mengendalikan Peti Perlindungan Bayi dan memudahcara proses pengambilan anak angkat untuk bayi yang diserahkan oleh ibu kandung atau ibu bapa yang memilih untuk memberikan anak mereka untuk dibuat pengangkatan.
Pengangkatan Kanak-Kanak Dewasa (2–18 Tahun)
Kanak-kanak yang lebih dewasa amat memerlukan kasih sayang, perhatian, penjagaan dan sebuah keluarga yang stabil.
Kami menyeru rakyat Malaysia untuk mempertimbangkan pengambilan anak angkat dalam kategori ini termasuk pasangan adik-beradik agar mereka tidak terus membesar tanpa sokongan kekeluargaan.
Pengangkatan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas/Kurang Upaya
Ramai kanak-kanak berkeperluan khas atau kurang upaya mampu berkembang dengan lebih baik dalam jagaan keluarga yang penyayang.
Mengambil kanak-kanak berkeperluan khas ini boleh menjadi satu pengalaman yang amat bermakna dan memberi kepuasan jiwa kepada keluarga angkat.
Langkah 3: Adakah Anda Layak Untuk Mengambil Anak Angkat?
Seterusnya, kita perlu melihat sama ada anda layak untuk mengambil anak angkat . Pengambil anak angkat boleh terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat atau latar belakang. Kami mencari individu yang mempunyai pelbagai kemahiran dan latar belakang tanpa mengira jantina, agama, etnik atau status perkahwinan.
Malangnya, OrphanCare tidak menyediakan perkhidmatan memudahkan pengambilan anak angkat kepada penduduk yang tinggal di Malaysia Timur (Sabah, Sarawak dan Labuan). Ini kerana undang-undang pengambilan anak angkat di Malaysia Timur berbeza daripada undang-undang pengambilan anak angkat di Semenanjung Malaysia. Namun, perlu diingat, jika anda seorang warganegara dari Malaysia Timur tetapi sedang tinggal di Semenanjung Malaysia, anda mungkin layak untuk mengambil anak angkat. Sila rujuk jadual di bawah untuk maklumat lanjut mengenai kriteria tersebut.
OrphanCare tidak menyediakan perkhidmatan pengambilan anak angkat antarabangsa. Ini termasuk pengambilan anak dari luar negara atau pasangan bukan warganegara Malaysia yang ingin mengambil anak angkat.
Kriteria kelayakan berbeza mengikut jenis anak yang ingin diambil sama ada bayi, kanak-kanak lebih dewasa atau kanak-kanak berkeperluan khas. Kriteria juga berbeza berdasarkan status pemohon sama ada pasangan berkahwin atau individu bujang. Pemohon yang layak menjadi ibu bapa angkat adalah mereka yang memenuhi syarat-syarat:
| Pengangkatan bayi (kurang daripada 2 tahun): | Pengangkatan kanak-kanak dewasa atau berkeperluan khas (2-18 tahun): |
| – Anda berumur di bawah 45 tahun – Berkahwin sekurang-kurangnya 5 tahun dan tidak mempunyai anak dan/atau berkahwin kurang daripada 5 tahun dan telah membuktikan masalah kesuburan – Mempunyai laporan daripada pakar kesuburan – Adakah warganegara Malaysia, atau pemastautin tetap (PR) berkahwin dengan warganegara Malaysia – Tinggal dan menetap di Semenanjung Malaysia – Sihat dari segi fizikal dan mental – Tidak mempunyai rekod jenayah – Tinggal di kawasan kejiranan yang selamat – Mempunyai pendapatan gabungan sekurang-kurangnya RM5000 sebulan | – Anda adalah pasangan suami isteri di bawah umur 60 tahun – Seorang wanita bujang di bawah umur 60 tahun – Adakah warganegara Malaysia, atau pemastautin tetap (PR) berkahwin dengan Warganegara Malaysia – Sihat dari segi fizikal dan mental – Tidak mempunyai rekod jenayah – Tinggal di kawasan kejiranan yang selamat – Mempunyai pendapatan gabungan sekurang-kurangnya RM5000 sebulan |
Bagi memudahkan dan mempercepatkan proses, anda digalakkan untuk menjawab kuiz kelayakan ringkas yang disediakan oleh OrphanCare di bawah. Kuiz ini akan membantu menentukan sama ada anda memenuhi syarat sebagai ibu bapa angkat. Sekiranya anda layak, makluman akan dihantar secara automatik kepada pasukan kami untuk tindakan lanjut dan proses seterusnya akan berjalan dengan lebih lancar.
Langkah 4: Isi Borang Rasmi Pengambilan Anak Angkat
Tahniah! Anda telah lulus semua syarat kelayakan untuk mengambil anak angkat!
Langkah seterusnya, anda akan dibawa ke halaman pembayaran untuk menjelaskan yuran pendaftaran (tidak boleh dikembalikan) sebanyak RM50.
Selepas pembayaran diterima, Pasukan Pengambilan Anak Angkat OrphanCare akan dimaklumkan secara automatik. Anda akan menerima:
– Borang pendaftaran rasmi,
– Soal selidik terperinci, dan
– Senarai lengkap dokumen yang perlu disediakan.
Langkah 5: Sesi Temu duga Bagi Pengesahan Kelayakan Selanjutnya
Selepas penghantaran borang dan proses saringan awal selesai, anda akan dijadualkan untuk menghadiri sesi temu duga bersama pihak OrphanCare.
Temu duga ini akan dilakukan secara bersemuka bagi menilai kesesuaian anda dengan lebih mendalam dan memastikan kebajikan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Ini juga memberi ruang untuk anda bertanya soalan berkenaan proses pengambilan anak angkat. Pihak kami akan memberikan penerangan berdasarkan garis panduan rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Perlu ditekankan bahawa OrphanCare bukan agensi pengambilan anak angkat, sebaliknya kami berperanan sebagai pemudah cara dalam memastikan proses ini berjalan secara teratur dan penuh empati.
Langkah 6: Menghadiri Bengkel Pra-Pengangkatan & Pemeriksaan Rumah
Setelah melepasi sesi temu duga, anda dan pasangan dikehendaki menyertai bengkel pra-pengangkatan selama satu hari yang diwajibkan oleh OrphanCare.
Bengkel ini bertujuan untuk:
· Memberikan pendedahan menyeluruh tentang realiti dan cabaran sebagai ibu bapa angkat,
· Membantu anda menetapkan jangkaan yang realistik, dan
· Mewujudkan komuniti sokongan antara bakal ibu bapa angkat.
Pemeriksaan Rumah akan dijalankan oleh pihak OrphanCare bagi menilai kesesuaian persekitaran kediaman anda sebagai tempat selamat dan kondusif untuk kanak-kanak.
Langkah 7: Pendaftaran – Senarai Menunggu & Proses Padanan
Tahniah! Anda telah berjaya melengkapkan semua keperluan yang ditetapkan untuk menjadi ibu bapa angkat.
Seterusnya, nama anda dimasukkan ke dalam senarai menunggu sehingga ada bayi atau kanak-kanak yang sesuai untuk dibuat pengangkatan. Pihak kami akan menghubungi dan memaklumkan kepada anda sebaik sahaja terdapat padanan dengan seorang bayi atau kanak-kanak.
Perlu dimaklumkan bahawa ibu bapa angkat akan bertanggungjawab menanggung kos berkaitan, termasuk:
· Kos rawatan hospital bayi, dan
· Kos kemasukan hospital ibu kandung, jika berkaitan.
Bagi pengambilan anak angkat yang lebih dewasa, proses senarai menunggu dan kos pengambilan mungkin berbeza dan akan dijelaskan kepada anda secara berasingan.
Adakah semua bayi dari baby hatch? – terperinci (buat catatan blog baharu)
Langkah 8: Membawa pulang anak anda dan memuktamadkan pengangkatan
Langkah akhir melibatkan proses memuktamadkan pengangkatan melalui prosedur undang-undang, di mana hak jagaan sah diberikan kepada ibu bapa angkat.
Pihak OrphanCare akan membimbing anda sepanjang proses ini. Setelah urusan undang-undang selesai, ibu bapa angkat boleh membawa anak pulang ke rumah.
Jangan risau, bagi tempoh dua tahun pertama selepas pengangkatan, pekerja sosial OrphanCare akan menyediakan sokongan pasca-pengangkatan bagi memantau kebajikan anak dan membantu anda melalui fasa penyesuaian sebagai keluarga angkat.
Pengangkatan anak sememangnya merupakan satu pengalaman yang mengubah kehidupan dan memberi impak besar kepada semua pihak yang terlibat.
Kami amat menghargai niat murni anda untuk mengambil anak angkat dan membantu menyelamatkan kehidupan kanak-kanak serta memberikan kasih sayang dan perlindungan yang mereka perlukan.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berkenaan pengangkatan anak, sila rujuk ke Halaman Pengangkatan kami (PAUTAN) dan bahagian Soalan Lazim Pengangkatan (PAUTAN).
Kami mengucapkan selamat maju jaya dalam perjalanan pengangkatan anak anda yang penuh bermakna ini.