Tiada seorang pun daripada senarai ibu bapa angkat OrphanCare yang bersedia menerima Alesha, seorang bayi berkeperluan khas. Alesha dilahirkan dengan sumbing lelangit, lubang kecil di jantung dan hanya mempunyai sebelah tangan. Dia ditinggalkan tanpa sebarang dokumen di peti Baby Hatch OrphanCare pada 18 Jun 2011. Kami menganggarkan ketika itu usianya lebih kurang satu setengah bulan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menetapkan tempoh kepada kami untuk Alesha diambil sebagai anak angkat. Jika dia tidak diambil sebagai anak angkat sebelum 4 Ogos, Alesha perlu ditempatkan di salah satu rumah kebajikan kendalian mereka. Mengikut amalan biasa, besar kemungkinan Alesha akan membesar di rumah kebajikan itu sehingga umur 18 tahun.
Dengan masa yang semakin suntuk, kami mengedarkan emel kepada rakan-rakan untuk berkongsi kisah Alesha, menyatakan keadaannya serta menyatakan betapa manis dan comelnya Alesha dan bahawa dia akan kelihatan lebih sempurna selepas pembedahan membetulkan sumbing lelangitnya.
Beberapa hari sebelum tarikh akhir, sepasang suami isteri yang sudah mempunyai tiga orang anak datang dan menyatakan hasrat untuk mengambil Alesha sebagai anak angkat. Namun, mereka meminta laporan kesihatan terlebih dahulu.
Pakar pediatrik kami menjelaskan kepada pasangan tersebut bahawa lubang kecil di jantung Alesha dijangka akan tertutup sendiri dalam masa setahun. Pembedahan plastik boleh membaiki sumbingnya tanpa menjejaskan keupayaan bertutur dan tangan palsu boleh dipasang apabila dia sudah cukup umur. Secara keseluruhannya, keadaan kesihatan Alesha adalah baik.
Kami berasa amat bersyukur apabila Alesha akhirnya pulang bersama keluarga barunya dengan adik perempuan angkat yang hanya enam bulan lebih tua daripadanya.
“Peluang hidupnya telah berubah daripada suram kepada cerah!”