Ramai remaja perempuan yang datang ke OrphanCare berada dalam keadaan ketakutan dan bimbang ditolak keluarga. Ada yang diusir kerana dianggap mencemarkan nama baik keluarga, manakala segelintir lebih bernasib baik menerima sokongan daripada bapa kepada bayi mereka.
OrphanCare percaya mendidik golongan muda tentang kesedaran diri amat penting dalam memperkasakan mereka memahami perubahan emosi dan fizikal yang dialami, agar mereka mampu menangani isu-isu berkaitan perhubungan dengan lebih matang dan sihat. Kami turut menggalakkan mereka untuk berani bersuara, dan meluahkan perasaan secara sihat kepada rakan, keluarga dan insan penting dalam hidup mereka.
OrphanCare menyokong usaha Kerajaan dalam menangani isu kehamilan tidak dirancang dalam kalangan remaja. Baby Hatch kami menjadi ruang selamat buat mereka yang berdepan kehamilan luar jangkaan.
Matlamat kami adalah untuk mengurangkan kehamilan tidak dirancang dan pembuangan bayi tanpa mengira latar belakang atau keadaan.
Kami percaya pendekatan menjaga batas diri boleh terus disarankan, namun pendidikan menyeluruh juga penting agar remaja mampu membuat pilihan yang lebih bijak. Justeru, kami melibatkan semua pihak — remaja, keluarga, komuniti, sekolah, penyedia penjajaan kesihatan dan agensi Kerajaan — dalam membawa perubahan ke arah kesejahteraan generasi muda.