Pendekatan kami di Malaysia melibatkan kerjasama erat dengan pihak berkepentingan dalam melaksanakan model Deinstitusionalisasi (DI) yang telah terbukti berkesan dan berasaskan kepada kaedah serta amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
OrphanCare bekerjasama rapat dengan Lumos, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) antarabangsa yang berpangkalan di United Kingdom dan diasaskan oleh penulis terkenal, J.K. Rowling. Lumos merupakan peneraju dalam usaha global bagi menamatkan penginstitusian kanak-kanak.
Pelaksanaan sistem yang membolehkan kanak-kanak dibesarkan dalam persekitaran yang selamat, penyayang dan menyokong bukanlah satu usaha yang mudah.
DI bukanlah tentang menutup bangunan atau membangunkan perkhidmatan baru. Ia adalah satu proses yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meraih semula identiti mereka dan mengembangkan keperibadian mereka.
Kejayaan DI tidak hanya diukur dengan pengurangan bilangan kanak-kanak di institusi. Yang lebih penting adalah kualiti hidup jangka panjang bagi kanak-kanak yang beralih dari institusi.
Terdapat 5 aspek yang perlu diberi perhatian bagi mengubah sistem yang lapuk dan mendatangkan kemudaratan, kepada sebuah sistem yang melindungi kanak-kanak serta menjamin masa hadapan mereka..
- Memainkan peranan dalam membentuk keputusan pembuat dasar dan penderma melalui polisi dan advokasi
- Yayasan OrphanCare telah berusaha keras dalam meyakinkan Kerajaan bahawa penempatan kanak-kanak di institusi harus dihentikan. Tumpuan diberi untuk meyakinkan syarikat-syarikat korporat agar berhenti memberi sokongan dana kepada rumah anak yatim (institusi) dan sebaliknya membantu membiayai model pemeliharaan berasaskan keluarga dan komuniti sebagai alternatif.
- Berkongsi kepakaran dan membina kapasiti
- OrphanCare menganjurkan bengkel latihan dengan menggunakan pengajar yang pakar dalam bidang ini
- Memberi perhatian terhadap rangka rang undang-undang.
- OrphanCare berusaha membawa perubahan terbaru dalam Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 yang akan memudahkan pelaksanaan DI.
- Pengurusan Peruntukan Belanjawan
- Belanjawan perlu dikaji semula. Peralihan dari institusi kepada pemeliharaan berasaskan keluarga dan komuniti memerlukan pengagihan semula dana yang signifikan.
- Menyokong kanak-kanak melalui peralihan dari satu sistem ke sistem lain
- Dengan mengikuti model penjagaan baru, kita akan dapat membantu kanak-kanak dengan lebih baik.
Sebagai tambahan, motivasi utama menjalankan DI, mestilah menghormati hak semua kanak-kanak.. Fokus harus sentiasa diberikan kepada hak kanak-kanak untuk membangun mengikut potensi penuh mereka. Perkara ini lebih cenderung tercapai dalam persekitaran yang memberi sokongan dan penuh kasih sayang.
Sumber: Akreditasi: Menamatkan penginstitusian kanak-kanak di Malaysia 2014 Lumos