Meningkatkan kesedaran di peringkat nasional mengenai kemudaratan yang disebabkan oleh rumah kebajikan dan rumah “anak yatim” .
Selagi ramai yang berpegang pada keyakinan bahawa rumah anak yatim adalah baik atau diperlukan, tentangan yang kuat berkenaan peralihan kepada sistem yang berasaskan pemeliharaan keluarga dan komuniti pasti akan berlaku.
Kumpulkan bahan penyelidikan dan pusatkan data mengenai jumlah serta ciri-ciri kanak-kanak di institusi di Malaysia.
Untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlu memahami betapa besar dan luasnya isu yang dihadapi. Walaupun terdapat statistik rasmi mengenai kanak-kanak di institusi, namun kanak-kanak di banyak institusi yang tidak berdaftar tidak diambil kira. OrphanCare, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lumos sedang bekerjasama untuk mengumpul data yang lebih tepat.
Bekerjasama dan berkongsi pengetahuan serta kepakaran
Penyelarasan dan kerjasama yang lebih erat antara sektor swasta, Kerajaan dan NGO akan membuka peluang untuk menggabungkan dana, pemikiran strategik, kemahiran, dan kehendak politik ( political will) yang diperlukan untuk mempercepatkan proses Deinstitusionalisasi (DI). OrphanCare komited untuk bekerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan.
Membangunkan pelan strategi nasional untuk Deinstitusionalisasi (DI) di Malaysia
Dengan data yang tepat dan berdasarkan pengalaman dari negara-negara yang berjaya melaksanakan DI, Malaysia dapat merangka strategi DI yang merangkumi:
- Peta perkhidmatan yang diperlukan untuk menempatkan semua kanak-kanak yang kini berada di institusi.
- Jadual dan pelan tindakan bagi pembangunan perkhidmatan komuniti serta proses pemindahan kanak-kanak dari institusi ke keluarga.
- Pelan pengurusan perubahan, termasuk strategi komunikasi dan peningkatan kesedaran.
- Program pembangunan tenaga kerja dan anggaran kos yang terperinci untuk melaksanakan strategi ini.
Membangunkan perkhidmatan pengukuhan keluarga dan komuniti
Di kebanyakan negara, majoriti kanak-kanak di institusi besar boleh disatukan semula dengan keluarga mereka sekiranya perkhidmatan pengukuhan keluarga yang mencukupi disediakan. Di Malaysia, usaha perlu ditumpukan kepada mempertingkat dan memperluaskan capaian perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan sosial berasaskan komunit yang baik serta berkualitii.
Tindakan aktif bagi mencegah pemisahan kanak-kanak daripada keluarga serta pelaksanaan intervensi untuk memulangkan kanak-kanak yang ditempatkan di institusi kembali ke pangkuan keluarga berpotensi menyelesaikan sebahagian besar isu yang menyebabkan kemasukan mereka ke dalam sistem jagaan.
Bagi kanak-kanak yang tidak dapat kembali ke pangkuan keluarga, penyelesaian terbaik seterusnya ialah melalui pengangkatan atau foster care (penjagaan sementara). Namun begitu, usaha yang menyeluruh masih diperlukan untuk membangunkan sistem penjagaan keluarga angkat yang lebih berkesan di Malaysia.
Sistem foster care kini sering disalah anggap sebagai sistem pengangkatan, mengakibatkan ramai calon penjaga lebih cenderung ke arah pengangkatan kekal tanpa memahami perbezaan peranan masing-masing.
Bagi membolehkan penubuhan perkhidmatan komuniti yang berkesan dan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk kembali ke pangkuan keluarga, kedua-dua sistem ini (fostercare dan pengangkatan) perlu dibezakan secara jelas. Di samping itu, usaha yang lebih menyeluruh diperlukan untuk memperkukuh proses pemilihan ibu bapa angkat, padanan dengan kanak-kanak yang sesuai, serta penyediaan menyeluruh kepada semua pihak dalam menghadapi kehidupan baharu bersama. Langkah-langkah ini penting bagi mengurangkan kegagalan dalam proses pengangkatan.
Membangunkan Program Perintis/Demonstrasi DI
Kerajaan disarankan untuk memilih satu atau dua institusi bagi membangunkan program perintis atau demonstrasi Deinstitutionalisation (DI). Pelaksanaan pada skala kecil pada peringkat awal membolehkan pembelajaran awal dilaksanakan serta kepakaran tempatan dalam pengurusan DI dibentuk secara berperingkat. Program perintis ini juga akan membantu pihak berkepentingan memahami konsep DI dengan lebih jelas serta melihat manfaat positifnya terhadap kanak-kanak, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
Meminda dan Memperluaskan Skop Undang-Undang Berkaitan Kanak-Kanak Dalam Jagaan
Undang-undang berkaitan kanak-kanak dalam jagaan perlu dipinda dan diperluas bagi menyokong pembangunan perkhidmatan komuniti serta menamatkan penempatan di institusi. Pindaan ini harus memastikan pihak berkuasa menyokong ibu bapa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, serta menjamin bahawa semua keputusan mengenai kanak-kanak dibuat berdasarkan hak dan kepentingan terbaik mereka. Langkah ini dijangka dapat mengurangkan pemisahan keluarga serta risiko penderaan dan pengabaian.
Undang-undang yang tegas amat diperlukan bagi mengawal penempatan kanak-kanak ke institusi swasta (memandangkan swasta memegang peranan yang besar). Piawaian kualiti yang seragam perlu dikuatkuasakan ke atas semua institusi, sama ada di bawah Kerajaan, swasta atau NGO. Hukuman yang berat juga perlu dikenakan bagi mengurangkan bilangan institusi yang tidak berdaftar dan tidak tertakluk kepada sebarang pengawasan.
Sebarang pindaan undang-undang perlu dilaksanakan seiring dengan pembangunan bentuk jagaan alternatif yang berkualiti serta sistem pemeliharaan berasaskan keluarga dan komuniti. Untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan dan penyelarasan, sokongan sumber yang mencukupi perlu disediakan dalam tempoh terdekat.
Peningkatan dan Penstrukturan Semula Sumber
Salah satu punca utama berlakunya institusionalisasi ialah penggunaan dana yang disalurkan secara tidak tepat untuk membina institusi baharu atau menaik taraf fasiliti lama, dan bukannya memberikan bantuan serta akses kepada perkhidmatan untuk keluarga yang ingin menjaga anak-anak mereka di rumah. Satu strategi baharu perlu dilaksanakan untuk mengalihkan dana daripada institusi kepada pembangunan program pemeliharaan berasaskan keluarga/komuniti yang menyokong kanak-kanak untuk terus tinggal bersama keluarga.
Bagi sesetengah pihak, institusi dijadikan pilihan pertama untuk membantu kanak-kanak walaupun terdapat pilihan penjagaan komuniti yang lebih baik dan memberi kesan positif jangka panjang.
Apabila proses DI dijalankan, dana yang diperuntukkan kepada institusi mesti dialih dan dilaburkan dalam perkhidmatan penjagaan alternatif yang lebih berkualiti. Sekurang-kurangnya, peruntukan ini perlu menyamai jumlah yang digunakan untuk seorang kanak-kanak dalam institusi.
Apabila dana ini disalurkan semula, institusi tidak lagi menjadi keutamaan, dan tumpuan akan beralih kepada usaha menyokong keluarga agar mereka dapat menjaga anak-anak mereka.
Pastikan pemahaman yang meluas bahawa kos yang jauh lebih rendah untuk menyokong keluarga menjaga anak-anak mereka daripada mengekalkan anak di institusi.
Ramai tidak sedar bahawa menjaga seorang kanak-kanak di institusi sebenarnya menelan belanja jauh lebih besar berbanding menyokong keluarga untuk membesarkan anak mereka sendiri. Walaupun usaha untuk melaksanakan proses DI memerlukan pelaburan permulaan, manfaatnya dalam jangka sederhana dan panjang sangat besar. Malah, bukan hanya dari segi kewangan, tetapi juga dari segi kesejahteraan kanak-kanak.
Penjimatan ini pula boleh digunakan untuk membina perkhidmatan khas berkualiti tinggi bagi segelintir kanak-kanak yang benar-benar memerlukan sokongan kompleks.
Sumber: Akreditasi: Menamatkan penginstitusian kanak-kanak di Malaysia 2014 Lumos